Rabu, 17 Oktober 2012

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tabung Alam Sedunia

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Tabung Alam Sedunia (World Wide Fund for Nature (WWF), Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan. Duit syiling peringatan ini telah dilancarkan pada 24 November 2011 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan, bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Duit syiling peringatan ini sah diperlakukan dan spesifikasinya adalah seperti yang berikut:
  1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualan pada awalnya RM1,800 sekeping. Sebanyak 250 keping sahaja ditempa.

  2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)

    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualan pada awalnya RM150 sekeping. Sebanyak 350 keping sahaja ditempa.

  3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic (Coin Card)

    Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualan pada awalnya RM10 sekeping. Sebanyak 10,000 keping sahaja ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Setiap set duit syiling ini dijual pada awalnya dengan harga RM2,000 dan hanya terdapat 300 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada awalnya dengan harga RM200 dan hanya terdapat 300 set sahaja. Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini adalah seperti di bawah:

SPESIFIKASI SYILING
Jenis
Logam
Nilai Muka
(RM)
Harga Jualan
(RM)
Kuantiti Tempaan  (keping/set)
Garis Pusat
(mm)
Berat
(gram)
Bentuk
Emas Pruf
Emas (Au999.9)
100
1,800
250
22.00
7.96
Bulat dengan sisi bergerigi
Perak
(Ag92.5)
10
150
350
35.70
21.00
Bulat dengan sisi bergerigi
Cu89 Zn5
Al5 Sn1
1
10
10,000
30.00
8.80
Bulat dengan sisi bergerigi
Set 2 dalam 1

10+1
200
300



Set 3 dalam 1

100+10+1
2,000
300



 Nota:
  1. Set 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak pruf dan emas Nordic pruf; dan
  2. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas pruf, perak pruf dan emas Nordic pruf.

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun Ke-50 Tabung Alam Sedunia:

Bahagian Hadapan Duit Syiling
Pada sekeliling permukaan duit syiling terpapar imej spesies haiwan negara yang terancam seperti Harimau Malaya, Badak Sumatera, Tapir Malaya, Gajah Asia, Burung Kenyalang Badak dan Penyu Laut. Pada bahagian tengah duit syiling ini dipaparkan imej hutan yang penting untuk kewujudan hidupan liar. Imej itu juga melambangkan usaha WWF dalam perlindungan alam sekitar, pemuliharaan hidupan liar yang terancam dan habitat hutan di Malaysia.  Perkataan “Ulang Tahun Ke-50” adalah untuk memperingati 50 tahun usaha WWF menangani isu-isu alam sekitar, manakala tahun “1961-2011” menandakan tempoh penubuhan WWF.

Bahagian Belakang Duit Syiling
Pada bahagian tengah duit syiling dipaparkan tanda dagangan berdaftar serta logo organisasi iaitu “WWF” dan beruang Panda. Perkataan “Bank Negara Malaysia”, iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, tertera pada bahagian atas duit syiling. Denominasi duit syiling tersebut pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling. Imej dan siluet bunga Rafflesia Azlanii, iaitu bunga yang unik bagi Malaysia, dipaparkan pada bahagian kiri syiling tersebut.

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan mula dijual pada 25 November 2011 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK), dan pejabat perwakilan dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan