Isnin, 15 Oktober 2012

Panduan Berguna Kepada Pengumpul Baru

Salah satu masalah yang sering dihadapi oleh para peminat baru dalam bidang pengumpulan wang kertas dan syiling ialah menentukan keadaan yang tepat bagi duit syiling atau wang kertas yang dijumpai. Haruslah diingatkan bahawa sesetengah syiling timah atau syiling yang kandungan perak yang rendah mungkin kelihatan lemah, terkoyak atau pecah terutama pada bahagian tulisan dan gambar potretnya. Namun ianya mungkin disebabkan oleh teknik penempaan yang lemah dan bukannya kerana kadar penggunaan atau edaran yang tinggi. Para pengumpul sering salah menilai mata wang yang ditemuinya, jesteru terpaksa membeli atau menjual pada kadar nilai yang tidak berpatutan. 

Duit syiling yang dipercayai diubah tahun pengeluarannya
Para pengumpul yang baru haruslah meminta bantuan dan pertolongan daripada para penjual atau pengumpul yang dipercayai dan beretika. Kanta pembesar adalah mustahak dan diperlukan untuk membezakan keadaan mata wang. Teknik-teknik tertentu diperlukan untuk membezakan mata wang dalam keadaan EF, AUNC, UNC dan sebagainya. Duit syiling yang jarang dijumpai tetapi dalam keadaan buruk barangkali nilainya tidak setinggi duit syiling yang biasa atau kerap dijumpai dalam keadaan yang amat baik. Ada sesetengah duit syiling yang biasa diubah tahun penempaan oleh golongan yang tidak bertanggungjawap bagi meningkatkan nilai duit syiling tersebut. Bagi pengumpul yang ingin membeli duit syiling atau wang kertas yang jarang dijumpai, harus diingatkan supaya lebih berhati-hati dan jikalau boleh, haruslah mendapatkan bantuan daripada mereka yang lebih berpengalaman atau dari kelab numismatik. Jikalau tidak mereka dinasihatkan mendapatkan surat jaminan atau pengesahan semasa pembelian tersebut.

Adalah dicadangkan kepada pengumpul yang baru, mulakan koleksi mereka mengikut tahap ekonomi masing-masing iaitu bermula dari mata wang yang biasa dijumpai sehinggalah ke mata yang yang jarang ditemui. Sedikit-sedikit hingga menjadi banyak dalam variati yang berbeza samaada syiling atau wang kertas. Pertukaran mata wang sesama pengumpul adalah amat digalakkan kerana ia dapat menambah kenalan dan berkongsi maklumat. Harus diingatkan terdapat sesetengah peniaga atau penjual yang tidak beretika malah tidak membaca sebarang bahan rujukan akan membuat penilaian berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Para pengumpul haruslah berhati-hati semasa berurusan dengan mereka. Para pengumpul dinasihatkan supaya memperbanyakan bahan bacaan dan rujukan bagi menambah ilmu pengetahuan mereka dalam bidang ini disamping bersikap jujur, amanah dan tidak berbohong dalam membuat kenyataan berkenaan mata wang yang mereka kumpul.


Pembersihan Duit Syiling

Terdapat pelbagai cara untuk membersihkan duit syiling yang dijumpai, namun secara umumnya, terutama bagi mereka yang kurang berpengalaman khususnya, dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada aktiviti-aktiviti mencuci, mengelap atau mengilatkan permukaan duit syiling simpanan mereka. Penggunaan bahan kimia juga haruslah dielakkan. Ini kerana cara pencucian yang tidak sempurna merupakan faktor-faktor utama kerosakan duit syiling, jesteru  mangakibatkan kejatuhan nilai duit syiling tersebut. Pengumpul baru sebaiknya meminta bantuan atau nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman untuk proses pembersihan tersebut.

Pemeliharaan Koleksi

Pelbagai kuman dan bakteria terdapat di permukaan mata wang, terutamanya mata wang yang lama. Kuman-kuman atau bakteria-bakteria ini akan berkulapuk dalam keadaan yang lembap yang akhirnya mengurangkan nilai mata wang tersebut. Oleh itu, bak kata pepatah Melayu, "pencegahan lebih baik daripada pemulihan". Jesteru itu, langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya haruslah dititik beratkan. Secara umum, pencegahan atau pemuliharaan ini boleh dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu;

1. Kulapuk

Kata kuncinya ialah elakkan kelembapan. Dengan ini, koleksi seharusnya disimpan di tempat yang kering dan pada suhu bilik yang optimum. Bekas simpanan seharusesuaisnya sentiasa didalam keadaan yang kering kontang. Penggunaan agen pengering sepeti silica gel adalah digalakkan. Harus dielakkan daripada menggunakan bekas yang dahulunya digunakan untuk menyimpan cecair termasuk bekas-bekas makanan kerana ditakuti bekas-bekas tersebut mengandungai kandungan asid yang tinggi. Selain itu sentuhan tangan secara terus juga tidak digalakkan kerana kadang kala tangan manusia mengandungi minyak atau peluh yang mungkin akan merosakkan permukaan wang tersebut. Oleh itu, penggunaan penyepit dan pemegang mata wang (banknote or coin holder) yang sesuai adalah digalakkan.

2. Lipatan / Longgokan / Timbunan

Kesan lipatan, longgokan atau timbunan samaada wang kertas mahupun syiling dalam jangka masa yang lama dan panjang mungkin akan merosakkan permukaan mata wang tersebut. Oleh itu, membiarkan mata wang dalam longgokkan atau timbunan akan mendedahkan mata wang tersebut kepada tekanan yang akhirnya melemahkan dan merosakkan mata wang tersebut.

3. Kesan gigitan serangga atau haiwan

Ini sering berlaku pada mata wang kertas yang disimpan di dalam timbunan buku dan majalah. Pengumpul baru sering mengambil jalan mudah, menyimpan koleksi wang kertas mereka bagi mengelakkan kesan lipatan dengan menyimpannya dalam buku atau majalah yang tebal dan mempunyai kulit buku yang keras. Ia bukan tidak baik kerana mendedahkan mata wang kepada tekanan, malah mungkin akan menjadi makanan kepada  lipas dan tikus. Oleh itu, simpanlah koleksi berharga ini di tempat dan persekitaran yang sesuai.

4. Kerosakkan / Kepudaran Warna

Cara terbaik untuk mengelakkan kerosakan warna atau kepudaran warna adalah dengan menghindari koleksi-koleksi tersebut dijemur di bawah matahari yang panas terik. Namun haruslah diingatkan juga bahawa pemegang mata wang (banknote or coin holder) yang berasid juga akan menyebabkan kesan-kesan yang buruk ini juga. Para pengumpul haruslah meminta nasihat daripada peniaga/pengumpul yang lebih arif semasa memilih pemegang mata wang yang sesuai untuk koleksi mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan