Jumaat, 19 Oktober 2012

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keretapi Tanah Melayu Ke-125 (Coin Card)


1 Jun 1889 menandakan tarikh pencapaian penting dalam sejarah perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu apabila laluan keretapi pertama dibuka untuk menghubungkan Taiping dengan Port Weld (kini dikenali sebagai Kuala Sepetang) di Perak. Pada tahun 1901, Kerajaan British menggabungkan kesemua perkhidmatan keretapi negeri dan menamakannya Keretapi Negeri-negeri Melayu Bersekutu (KNMB). KNMB telah memainkan peranan penting dalam pembangunan perkhidmatan keretapi negara.

Nama tersebut kemudian ditukar kepada Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada tahun 1948. Pada 1 Ogos 1992, nama KTM telah ditukar kepada KTM Berhad susulan keputusan kerajaan menjadikan KTM sebagai syarikat korporat. Dari tahun ke tahun, KTM terus meningkat perkhidmatannya kepada orang ramai. Keretapi yang digunakan telah dinaik taraf daripada lokomotif wap kepada lokomotif diesel elektrik yang mula beroperasi pada 31 Julai 1957. Unit Elektrik Berganda (EMU) pertama untuk perkhidmatan KTM Komuter telah memulakan perkhidmatannya pada 3 Ogos 1995. Pada tahun 2002, KTM menerima 20 unit Lokomotif Elektrik Berkuasa Tinggi Blue Tiger, diikuti oleh 20 unit Lokomotif Elektrik Berkuasa Tinggi Dalian pada tahun 2005.


Pada 19 Disember 2009, KTM Berhad mencatat satu lagi sejarah apabila Set Tren Elektrik (ETS) yang boleh mencapai kelajuan maksimum 160km/j, diterima dan dijadualkan beroperasi menjelang Jun 2010. Langkah penambahbaikan infrastruktur juga terus dilaksanakan. Antaranya, landasan tunggal dipertingkatkan kepada landasan berkembar elektrik bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang dan Seremban ke Ipoh. Selain itu, projek landasan berkembar bagi laluan Ipoh - Padang Besar dan Seremban - Gemas masih dalam pembinaan.


KTM Berhad akan terus melaksanakan pelbagai perubahan positif demi kemudahan para penumpangnya dan akan terus relevan dalam memacu 1Malaysia.

Syiling Ulang Tahun ke-125 KTM - Depan

Syiling Ulang Tahun ke-125 KTM - Belakang
Kod:00.53
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM20 - RM40.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan