Isnin, 20 Mei 2013

Penerbitan Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan 100 Tahun Getah Asli

Bagi menghargai peranan penting yang telah dimainkan oleh industri getah asli dalam pembangunan ekonomi negara, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan duit syiling peringatan 1 ringgit kupro-nickel yang sah diperlakukan  (legal tender) sempena Sambutan 100 Tahun Penanaman Getah Asli di Malaysia. Walau bagaimanapun tarikh sebenar pengeluaran syiling ini tidak dapat dipasti kerana terdapat percanggahan tahun di dalam buku-buku yang menjadi sumber rujukan. Rujukan pertama menyatakan syiling ini dikeluarkan pada 2hb Julai 1977 iaitu sama seperti tertera di syiling tersebut dimana pada tahun 1977 genaplah 100 Tahun Penanaman Getah Asli di Malaysia. Walau bagaimanapun rujukan lain meletakkan tarikh 2hb Julai 1979 sebagai tarikh pengeluaran syiling peringatan ini.  Rujukan ini menyatakan atas sebab-sebab yang tidak diketahui, sambutan dan pengeluaran syiling ini telah tertunda 2 tahun dan hanya pada tahun 1979 ia dikeluarkan. 

Duit syiling, seberat 16.80 gram setiap sekeping dan mempunyai nilai muka RM1. Syiling ini telah ditempa dan dikeluarkan oleh Kilang Wang, Shah Alam dan kuantiti tempaan adalah terhad kepada 500,000 keping sahaja. Spesifikasi terperinci duit syiling peringatan ini adalah seperti berikut:

Duit Syiling Peringatan Sempena
Sambutan 100 Tahun Getah Asli 

Spesifikasi Teknikal 

Jenis
Tembaga-Nikel
Kandungan Logam

Tembaga 75%
Nikel 25%

Nilai Muka
RM1
Diameter
33.40 mm
Berat
16.80 gram
Ketebalan
2.50 mm
Klasifikasi
Bukan Peruf
Jumlah Tempaan
Dibenarkan
500,000

Rekabentuk Duit Syiling

Rekabentuk syiling peringatan ini di bahagian hadapan menggambarkan logo sambutan 100 Tahun Getah Asli di Malaysia. Ia dilambangkan dengan sepasang tangan yang sedang menoreh pokok getah dengan latar belakang model molekul dan globe dunia.

Rekabentuk belakang pula dihiasi dengan perkataan "SERATUS TAHUN GETAH ASLI" diletakkan dibelah atas syiling, nilai muka diletakkan dibahagian tengah syiling dengan "1877-1977" di bawahnya. Perkataan "Malaysia" ditempa dibahagian bawah syiling.

Syiling peringatan Sambutan 100 Tahun Getah Asli - Depan
Syiling peringatan Sambutan 100 Tahun Getah Asli - Belakang
Kod:00.81
Harga semasa (2012) untuk syiling peringatan tembaga-nikel bukan peruf ini dalam kondisi BU adalah diantara RM35 - RM45.