Jumaat, 19 Oktober 2012

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Parlimen Malaysia (Coin Card)


Duit syiling peringatan ini dikeluarkan sempena Ulang Tahun ke-50 Parlimen Malaysia

Parlimen Malaysia merupakan lambang struktur demokrasi kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih. Parlimen Malaysia yang merupakan badan penggubal undang-undang tertinggi negara, terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.


Berikutan pilihan raya umum yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Pada tarikh tersebut, Dewan Negara dan Dewan Rakyat buat julung-julung kalinya bersidang serentak di Dewan Tunku Abdul Rahman. Urusan Mesyuarat yang pertama ialah pemilihan Yang di-Pertua bagi kedua-dua Dewan tersebut. Ini diikuti oleh Majlis Mengangkat Sumpah oleh kesemua 38 Ahli Dewan Negara dan 104 Ahli Dewan Rakyat.


Pada 16 September 1963, Malaysia telah terbentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi sebahagian daripadanya. Berikutan itu, nama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah bertukar kepada Parlimen Malaysia pada mesyuarat pertamanya pada 2 November 1963. Tarikh tersebut juga mencatat satu lagi sejarah penting apabila persidangan parlimen diadakan di bagunan baharunya sendiri yang tersergam indah dalam kawasan Taman Tasik Perdana dengan keluasan 16.2 hektar.

Kini, keahlian Parlimen Ke-12 bertambah kepada 70 ahli bagi Dewan Negara dan 222 ahli bagi Dewan Rakyat. Parlimen Malaysia akan terus menjadi institusi yang dijunjung tinggi oleh semua rakyat Malaysia dan akan terus menjadi lambang demokrasi berparlimen negara untuk selama-lamanya.

Syiling Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Parlimen Malaysia - Depan

Syiling Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Parlimen Malaysia - Belakang
Kod:00.53
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM20 - RM45.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan