Rabu, 10 Oktober 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Ketiga Haiwan Laut dan Reptilia Keluaran Kedua belas

LUMBA-LUMBA EMPESUT/IRRAWADY DOLPHIN


Keluarga : Delphinidae
Nama Biasa : Irrawady Dolphin
Nama Melayu : Lumba-lumba Empesut
Nama Saintifik : Orcaella Brevirostris


Lumba-lumba Empesut mempunyai kepala besar yang berbentuk bulat dengan muncung yang tidak begitu jelas kelihatan. Spesies ini mempunyai sirip dorsal yang kecil, berbentuk tiga segi dan hujungnya majal, dan ia terletak di bawah bahagian tengah belakang. Siripnya pula panjang dan lebar. Lumba-lumba ini mempunyai pergerakan yang perlahan dan lazimnya berenang dalam kumpulan yang kecil.

Lumba-lumba Empesut dewasa boleh membesar antara 2.1 meter hingga 2.6 meter panjang dan anak lumba-lumba yang baru lahir pula panjangnya kira-kira 1 meter. Berat Lumba-lumba Empesut boleh mencapai antara 90 hingga 150 kilogram sementara berat anak lumba-lumba yang baru lahir pula lebih kurang 12 kilogram. 


Lumba-lumba Empesut ini boleh ditemui terutamanya di perairan cetek di kawasan tropika Indo-Pasifik dan di sistem sungai utama, terutamanya Brahmaputra dan Ganga di India, Mekong di Vietnam, Irrawady di Burma, Mahakam di Borneo dan Laos dan Kemboja. Makanan lumba-lumba ini ialah ikan, kerang-kerangan dan sotong.

Di Malaysia, spesies lumba-lumba ini dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Perikanan 1999(Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) dan Akta Perikanan 1985.

Syiling Lumba-lumba Empesut - Depan

Syiling Lumba-lumba Empesut - Belakang

Kod: Null
Harga syiling Penyu Belimbing dan syiling Lumba-lumba Empesut, dari pemerhatian saya adalah yang tertinggi berbanding syiling-syiling lain dalam siri ini mahupun siri-siri lain kerana ia menjadi buruan para pengumpul dan amat sukar diperolehi. Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM70 - RM200.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan