Selasa, 9 Oktober 2012

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)

Mengenai Bank

 
Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada 26 Januari 1959 di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (Pindaan - 1994). Bank Negara Malaysia (Bank) merupakan badan berkanun yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dengan modal berbayar yang meningkat secara berperingkat-peringkat, kini sebanyak RM100 juta. Bank bertanggungjawab kepada Menteri Kewangan Malaysia dan memaklumkan hal-hal berkaitan dengan dasar sektor monetari dan kewangan kepada Menteri.

Peranan dan Fungsi  

Antara peranan utama Bank ialah pengendalian dasar monetari yang berhemat, yang secara umumnya menghasilkan inflasi yang rendah dan stabil, dan seterusnya mengekalkan kuasa beli ringgit. Bank juga bertanggungjawab mewujudkan sistem kewangan yang stabil dan menggalakkan sektor kewangan yang kukuh dan progresif. Kini, sektor kewangan lebih pelbagai, komprehensif dan berdaya saing, dan berupaya memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang semakin canggih, dan juga telah menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi. Bank juga memainkan peranan penting dalam pembangunan, termasuk pembangunan infrastruktur sistem kewangan dengan penekanan utama diberikan pada pembangunan sistem pembayaran negara yang efisien dan selamat di samping membina institusi yang diperlukan (termasuk Suruhanjaya Sekuriti, BSKL, sekarang dikenali sebagai Bursa Malaysia dan Credit Guarantee Corporation). Semua ini penting ke arah membangunkan sistem kewangan yang menyeluruh, kukuh dan berdaya saing. Bank secara aktif menggalakkan rangkuman kewangan, yang telah mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi semua sektor ekonomi dan lapisan masyarakat, dan dengan itu menyokong pertumbuhan ekonomi yang seimbang.

Peranan penting Bank yang lain ialah menjadi jurubank dan penasihat kepada Kerajaan, memainkan peranan yang aktif dalam memberi nasihat berkaitan dengan dasar makroekonomi dan pengurusan hutang negara. Bank juga merupakan pihak berkuasa tunggal mengeluarkan mata wang di samping menguruskan rizab antarabangsa negara.

Peranan Bank disokong oleh 37 jabatan/unit di Bank yang merangkumi tujuh bahagian berdasarkan fungsian seperti yang berikut:


Dasar Ekonomi & Monetari

Menyediakan terutamanya sokongan teknikal dan penyelidikan yang baik mengenai isu berkaitan pertumbuhan untuk menambah baik perumusan dasar monetari dan kredit dalam menggalakkan kestabilan monetari dan memastikan ketersediaan kredit yang mencukupi untuk membiayai pertumbuhan ekonomi.


Pelaburan dan operasi

Menguruskan mudah tunai domestik dan kadar pertukaran bagi memastikan sasaran dasar monetari dapat dicapai selain menguruskan rizab luar negeri bagi melindungi nilai dan mengoptimumkan pulangan. Di bawah fungsi ini, Bank juga bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan menyediakan bantuan kepada Kerajaan berhubung dengan pengurusan hutang dan dana serta menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan domestik.


Pengawalan

Bangunan Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia
Menggalakkan sektor kewangan yang stabil melalui pembangunan institusi dan infrastruktur kewangan yang mampan, kukuh dan mantap secara berperingkat-peringkat dan dengan itu membolehkan industri kewangan tempatan yang kompetitif mempunyai daya tahan dalam menghadapi persekitaran masa hadapan yang berubah-ubah di samping menerajui inisiatif mempertingkatkan akses kepada pembiayaan. Dasar dan strategi turut dirumuskan dan dilaksanakan ke arah membangunkan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam bersepadu yang terunggul serta meningkatkan keupayaan kewangan pengguna.


Sistem pembayaran

Menghasilkan dasar dan strategi bagi menggalakkan sistem penjelasan, penyelesaian dan pembayaran yang boleh dipercayai, selamat dan cekap di dalam negara.

Penyeliaan

Menghasilkan, menambah baik dan melaksanakan rangka kerja pengawasan yang berkesan bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan institusi kewangan dan menguatkuasakan amalan yang baik terhadap institusi tersebut.


Pembangunan organisasi

Menerajui fungsi pengurusan strategik, pengurusan prestasi organisasi dan pengurusan program bagi memacu proses penambahbaikan prestasi dan mengukuhkan bina upaya Bank. Selain itu, menerajui dan memacu inisiatif sumber manusia dan aktiviti strategik lain bagi memastikan keseluruhan rangka kerja Pengurusan Modal Insan dilaksanakan dengan berkesan.

Komunikasi

Fungsi komunikasi telah menjadi semakin penting bagi memenuhi tuntutan yang meningkat dari pelbagai pihak berkepentingan yang mengharapkan ketelusan dan penzahiran yang lebih baik.?
 

Meningkatkan interaksi dan hubungan dengan orang ramai 

Memandangkan sistem kewangan semakin berkembang, Bank telah melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan pengguna. Berikutan kecanggihan pasaran, produk dan perkhidmatan kewangan pada masa ini, Bank telah memulakan Program Pendidikan Pengguna (Consumer Education Programme) di seluruh negara untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Program ini terdiri daripada inisiatif BankingInfo dan InsuranceInfo; penyertaan kanak-kanak sekolah yang disasarkan dalam program jangkauan Bank bagi meningkatkan pendidikan kewangan mereka; dan jerayawara (roadshows) pendidikan kewangan untuk meluaskan penyampaian maklumat kepada orang ramai, termasuk di kawasan luar bandar. 


Akses yang lebih meluas kepada orang ramai

Dengan pelbagai inisiatif yang ada, akses kepada Bank oleh orang ramai juga penting. Melalui interaksi dengan orang ramai, Bank dapat mempertingkatkan pemahaman mereka mengenai hal-hal kewangan di samping memperoleh maklumat berguna berhubung dengan isu sebenar yang dihadapi pengguna sektor kewangan, yang penting untuk membuat keputusan dasar. Dalam usaha mewujudkan pusat sehenti bagi perhubungan awam, Pusat Perhubungan Bersepadu (Integrated Contact Centre, ICC) telah ditubuhkan, yang menempatkan pengurusan pelanggan dan pengurusan kes di bawah satu bumbung. ICC terdiri daripada berikut:
 
  1. BNMLINK, iaitu pusat perkhidmatan pelanggan, memberikan maklumat dan penjelasan kepada orang ramai berhubung dengan hal-hal di bawah kawal selia Bank. Perkhidmatan ini kini boleh didapati di kesemua cawangan Bank.
  2. BNM TELELINK melengkapkan perkhidmatan BNMLINK dengan menguruskan pertanyaan melalui panggilan telefon, faksimile, surat dan e-mel; dan
  3. Unit Pengurusan Aduan dan Khidmat Nasihat (Complaint Management and Advisory, CMA), yang antara lainnya, memudahkan penyelesaian aduan orang ramai, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, terhadap institusi di bawah kawal selia Bank.


Khidmat nasihat kewangan dan kaunseling

Bank telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, dengan cawangan-cawangannya di seluruh Malaysia bagi membantu pengguna menguruskan hutang mereka dan menjadi lebih berdikari dalam menguruskan hal-hal kewangan dan seterusnya mengekalkan daya tahan sektor isi rumah dalam proses pertumbuhan ekonomi. Selain itu, Bank juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Biro Pengantaraan Kewangan, iaitu sebuah badan bebas yang memberikan penyelesaian secara objektif dan tepat pada masanya bagi pertikaian, tuntutan dan aduan berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh institusi kewangan kepada pengguna. 

Untuk maklumat lanjut sila lawati laman web: www.bnm.gov.my
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan