Isnin, 22 Oktober 2012

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia (Coin Card)


Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 26 Januari 1959 di bawah Ordinan Bank Negara Tanah Melayu, 1958. Duit syiling peringatan khas yang dikeluarkan ini ialah sempena sambutan ulang tahun Bank Negara Malaysia ke-50 dan juga sebagai memperingati sumbangannya kepada pembangunan negara sepanjang setengah abad. Tanggungjawab utama Bank Negara Malaysia ialah memastikan keadaan monetari dan kewangan yang stabil disamping sentiasa mengawal sistem pembayaran di dalam negara.
 
 
Dengan wujudnya kestabilan monetari melalui pelaksanaan dasar monetari yang berhemat oleh Bank Negara Malaysia, inflasi purata telah berjaya dibendung pada paras yang rendah dan kuasa beli bagi mata wang ringgit dapat dipelihara. Hasilnya, prospek pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan dapat dicapai. Sepanjang tempoh 50 tahun ini, bank telah menyumbang kepada pembangunan sistem kewangan yang lebih cekap, berdaya tahan dan selamat yang dapat memenuhi keperluan pengguna dan peniaga yang semakin canggih.


Pengalaman dan cabaran yang dilalui sepanjang setengah abad ini telah membentuk nilai dan tradisi yang lebih utuh disamping mempertingkatkan kepakaran bank. Semua ini penting untuk Bank Negara Malaysia berfungsi sebagai sebuah bank pusat yang efektif. Bank Negara Malaysia akan terus berperanan dalam pembangunan ekonomi negara dan akan terus menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Malaysia pada masa hadapan.

Syiling Ulang Tahun ke-50 Bank Negara Malaysia - Depan

Siluet latar langit Kuala Lumpur dan Putrajaya yang digambarkan pada bahagian hadapan duit syiling mencerminkan perkembangan pembangunan negara yang dinamik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Logo Bank Negara Malaysia tertera pada bahagian tengah dalam garis berbentuk bunga lawang, iaitu sejenis rempah tempatan yang digemari ramai. Bunga lawang ini yang digambarkan pada duit syiling Dinar Matahari digunakan pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu, melambangkan kepentingan perdagangan rempah dalam pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di rantau ini. Perkataan Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia dan tahun 1959 - 2009 masing-masing tertera pada bahagian sisi atas dan bawah duit syiling tersebut.

Syiling Ulang Tahun ke-50 Bank Negara Malaysia - Belakang

Perkataan Bank Negara Malaysia dalam tulisan Jawi ditulis pada bahagian belakang duit syiling. Bintang berpenjuru 14 melambangkan 14 buah negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan dan digambarkan pada bahagian tengah dalam garis berbentuk bunga lawang. Nilai muka duit syiling tertera pada bahagian sisi bawah sementara corak pending iaitu corak hiasan tradisional Melayu terletak pada bahagian sisi kanan dan kiri duit syiling tersebut.

Kod:00.05
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM20 - RM55.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan