Selasa, 30 Oktober 2012

Duit Syiling Peringatan Sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIII (Coin Card)


RIWAYAT HIDUP SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN
IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH
______________________________________

D.K.M., D.K.T., D.K.R., D.M.N, S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K.(Johor), D.K.M.B.(Brunei), D.K.(Perak), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), D.K.(Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (Peranchis)


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada 22 Januari 1962 (15 Syaaban 1381) di bandar Kuala Terengganu. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan putera sulung daripada tujuh bersaudara.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan diikuti Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Seterusnya, baginda melanjutkan pelajaran di Geelong Grammar School di Victoria, Australia dari tahun 1980 hingga 1981. Sebelum menghadiri kursus ketenteraan di luar negeri, baginda telah mengikuti latihan ketenteraan di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga bulan mulai 18 Mei 1981. Selanjutnya, baginda mengikuti kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages dari 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983 dan kursus ketenteraan SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, England dari 3 Mei 1983 hingga 9 Disember 1983. Baginda diberi tauliah pangkat Leftenan Kehormat pada 1 Mac 1984 dan berkhidmat di Kor Kavairi DiRaja.

Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di US International University-Europe di Landon dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berusia 17 tahun semasa dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda bagi negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979. Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu buat kali pertama pada 20 Jun 1986, dan buat kali keduanya dari 21 Oktober 1990 hingga 8 November 1990.

Pada 15 September 1981, baginda memulakan khidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu dan berkhidmat selama kira-kira setahun sebelum berangkat ke luar negeri untuk mengikuti kursus ketenteraan di England.

Baginda berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu dari 11 Julai 1988 hingga 10 Julai 1989. Baginda seterusnya menjawat jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun dari 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991. Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dari 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mendirikan rumah tangga dengan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 28 Mac 1986 di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Pasangan diraja ini dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu dua puteri dan dua putera.

Dengan kehendak dan izin Allah SWT, baginda telah menaiki takhta sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan bagi negeri Terengganu serta segala jajahan takluknya pada 15 Mei 1998 (18 Muharam 1419). Baginda menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999.

Atas keprihatinan baginda mengenai kebajikan hidup rakyat jelata, baginda sering mengambil peluang untuk bersama-sama dengan golongan rakyat jelata di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu untuk menunaikan solat Jumaat. Baginda juga telah menubuhkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada 19 Julai 2005 bersempena hari keputeraan baginda yang ke-43. Yayasan ini menganjurkan dan membiayai pelbagai program di Terengganu.

Baginda juga aktif dalam bidang sukan. Antara sukan kegemaran baginda ialah bola sepak, golf, taekwando, selam skuba dan menunggang kuda. Minat baginda dalam bidang sukan terutamanya sukan menunggang kuda boleh dilihat daripada tertubuhnya "Royal Terengganu Endurance Stable". Hasil daripada usaha baginda juga, Malaysia telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi "World Endurance Championship" yang diadakan pada tahun 2008 di Lembah Bidong, Terengganu.

Baginda telah dianugerahi Darjah-Darjah Kebesaran, iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.P.M.T.) pada 6 Mac 1982, Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) pada 8 April 1986, Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T.) pada 12 Februari 1989, Darjah Utama Kerabat Terengganu (D.K.T.) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putera Jamalullail (D.K. Perlis) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Mahkota Johor Yang Amat Dihormati (D.K. Johor) pada 1 Oktober 1998, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) pada 27 Februari 1999, Darjah Kerabat Diraja Terengganu Yang Amat Mulia (D.K.R.) pada 6 Julai 2000, Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z.) pada 6 Julai 2001, Darjah Kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati (D.K. Negeri Sembilan) pada 19 Julai 2001, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Negeri Kedah Darul Aman (D.K. Kedah) pada 20 Januari 2002, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Al-Yunus)(D.K. Kelantan) pada 30 Mac 2002, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Selangor (D.K. Selangor) pada 7 Mac 2003, Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.U.M.Z) pada 26 Mei 2005 dan Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M.) pada 5 April 2007.


Syiling Yang di-Pertuan Agong XIII - Depan

Syiling Yang di-Pertuan Agong XIII - Belakang
Kod:00.821
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM100 - RM135.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan