Memaparkan catatan dengan label Syiling Pendidikan Burung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Syiling Pendidikan Burung. Papar semua catatan

Isnin, 1 Oktober 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Keduabelas

TIRJUP TANAH/BROWN SHRIKE


Keluarga : Laniidae
Nama Biasa : Brown Shrike
Nama Melayu : Tirjup Tanah
Nama Saintifik : Lanius Cristatus

Tirjup Tanah boleh dilihat antara pertengahan bulan September hingga April di kawasan lapang yang terbuka. Warna bulu pelepah burung ini hampir kesemuanya adalah coklat muda atau coklat kekuningan dengan tompok seakan topeng di muka yang berwarna hitam manakala dahi dan bulu keningnya adalah pudar. Jambul dan ekor Tirjup Tanah berwarna kuning dengan bahagian bawah badan berwarna coklat cerah hingga keputih-putihan. Anak Tirjup Tanah mempunyai garisan hitam yang pudar dan halus pada bahagian tepi, dada dan belakang.


Burung ini mengeluarkan bunyi kicauan yang kasar, terutamanya pada waktu awal pagi untuk beberapa minggu selepas sampai di sesuatu kawasan baru. Burung ini boleh ditemui di kawasan lapang, tanah yang diusahakan dan hutan sekunder. Kebiasaannya, burung ini bertenggek di dahan yang terdedah, pagar atau wayar untuk memburu dan menangkap serangga di tanah.


Tirjup Tanah membiak di Palearctic, China, Jepun dan Korea. Semasa musim sejuk Tirjup Tanah berhijrah ke India, China, Taiwan, Kepulauan Sunda dan negara-negara Asia Tenggara lain.


Di Malaysia, tirjup ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 427 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

 Syiling Tirjup Tanah - Depan

Syiling Tirjup Tanah - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kesebelas

PERGAM BESAR/GREEN IMPERIAL PIGEON


Keluarga : Columbidae
Nama Biasa : Green Imperial Pigeon
Nama Melayu : Pergam Besar
Nama Saintifik : Ducula Aenea


Pergam Besar mempunyai bulu pelepah berwarna kelabu keabu-abuan pada bahagian kepala, leher, dada dan bahagian bawah badan manakala ekor burung ini berwarna gelap dengan bahagian bawah berwarna coklat muda. Burung ini mempunyai sayap dan bahagian atas badan berwarna hijau lembut, kaki berwarna merah dan paruh berwarna kelabu dengan bahagian dasar yang berwarna merah. Anak Pergam Besar mempunyai warna yang lebih pudar berbanding dengan pergam dewasa, termasuk pada bahagian kepala, leher dan bahagian bawah badan.


Musim membiak spesies ini bermula pada bulan Mei, Jun dan September setiap tahun dengan burung betina bertelur sebanyak 1 hingga 2 biji di dalam sarang yang dibina di atas pokok, 10 meter dari aras tanah. Pergam Besar boleh ditemui di hutan tanah pamah, paya bakau dan kawasan tepi pantai. Burung ini mencari makanan di atas kanopi pokok dalam kumpulan kecil sambil berkicau-kicauan.


Pergam Besar boleh ditemui di timur laut, timur dan selatan India, timur Bangladesh, Sri Langka, Kepulauan Andaman dan Nicobar, barat daya dan selatan China, Kepulauan Sunda Besar, barat Kepulauan Sunda Kecil, Filipina dan Sulawesi. Burung ini merupakan spesies tempatan yang tinggal menetap di Asia Tenggara, (kecuali di bahagian tengah Thailand) di kawasan tepi pantai di Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, jumlah burung ini semakin berkurang dan kini dapat ditemui di beberapa tempat sahaja (Endau Rompin, pelbagai pulau dan kawasan tepi pantai paya bakau) khususnya dalam hutan di sepanjang tepi sungai.


Di Malaysia, spesies pergam ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 89 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

 Syiling Pergam Besar - Depan

 Syiling Pergam Besar -Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.


Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kesepuluh

BANGAU BESAR/GREAT EGRET


Keluarga : Ardeidae
Nama Biasa : Great Egret
Nama Melayu : Bangau Besar
Nama Saintifik : Egretta Alba

Spesies ini ialah spesies terbesar di kalangan burung bangau dan saiz burung ini mudah dibezakan khususnya ketika terbang. Bangau Besar mempunyai paruh yang kuat dan sebahagian besar bulu pelepahnya berwarna putih bersih. Semasa musim membiak, paruhnya akan berubah menjadi hitam dan kulit mukanya pula akan berwarna hijau kebiruan, sementara betisnya berwarna kemerahan atau kehijauan, berbeza dengan bahagian kaki yang lain yang berwarna hitam. Bangau Besar yang tidak membiak pula biasanya mempunyai paruh berwarna kuning dan kadang kala hujung paruhnya berwarna gelap. Mukanya pula berwarna kuning kehijauan manakala kaki dan jari kakinya berwarna hitam.


Bangau Besar membiak antara bulan Jun hingga bulan Oktober setiap tahun. Bangau betina biasanya menghasilkan antara 3 hingga 4 biji telur di dalam sarang yang kelihatan seperti pelantar kasar di atas pokok. Spesies ini mendiami pelbagai kawasan tanah tepi laut, tanah lembap, sawah padi dan paya bakau sehingga mencapai 800 meter dari aras laut.


Burung ini merupakan spesies biasa ditemui di seluruh dunia. Di Malaysia, Bangau Besar pernah menjadi burung yang sukar ditemui tetapi pada masa ini, jumlah burung ini telah meningkat disebabkan terutamanya oleh penghijrahan.


Di Malaysia, bangau ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 19 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

Syiling Bangau Besar - Depan

Syiling Bangau Besar -Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.


Jumaat, 28 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kesembilan

TAKAU RAKIT/BLACK-AND-RED BROADBILL


Keluarga : Eurylaimidae
Nama Biasa : Black-and-Red Broadbill
Nama Melayu : Takau Rakit
Nama Saintifik : Cymbirhynchus Macrorhynchus

Burung yang kecil tetapi gempal ini mempunyai bahagian atas badan berwarna hitam dan bahagian bawah badannya pula berwarna merah gelap, dengan garis hitam melintang pada bahagian dada. Takau Rakit juga mampunyai tongkeng yang berwarna merah yang tidak kelihatan ketika burung ini sedang bertenggek. Terdapat juga garisan berwarna putih melintang pada sayapnya. Paruhnya pula berwarna biru kehijauan pada bahagian atas manakala pada bahagian bawah paruh pula berwarna kuning. Anak Tukau Rakit mempunyai persamaan dengan burung dewasa dari segi warna, namun berbeza pada bahagian bawah badan yang berwarna perang kemerahan.


Musim membiak bagi spesies ini adalah dari bulan Februari sehingga ke bulan September dengan Takau Rakit betina bertelur antara 2 hingga 4 biji di dalam sarang. Sarangnya berbentuk bujur dengan satu bahagian tepi yang terbuka. Sarang ini dibuat di atas dahan atau pokok pemanjat setinggi 1.5 meter sehingga ke 8 meter dari permukaan air atau aras tanah. Spesies ini boleh ditemui di kawasan hutan tanah pamah, ladang-ladang pertanian, tumbuhan sekunder yang tinggi dan khususnya di tepi sungai. Burung ini tidak menonjol dan boleh berdiam diri untuk jangka masa yang lama.


Spesies ini boleh ditemui di Sumatera dan Borneo. Burung ini juga boleh ditemui, walaupun jarang kelihatan, di beberapa bahagian Asia Tenggara seperti di barat daya, selatan Myanmar, Tenasserin, barat, tenggara dan selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Kemboja, selatan Laos, Cochinchina dan dahulunya terdapat di utara Thailand dan Singapura.


Di Malaysia, spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 230 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

 Syiling Takau Rakit - Depan

Syiling Takau Rakit -Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.


Rabu, 26 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kelapan

SIUL BERJAMBUL/CRESTED WOOD PARTRIDGE


Keluarga : Phasianidae
Nama Biasa : Crested Wood Partridge
Nama Melayu : Siul Berjambul
Nama Saintifik : Rollulus Rouloul

Burung jantan spesies ini berwarna biru gelap berkilat dangan jambul merah gelap. Kaki dan kulit di sekeliling mata berwarna merah dan terdapat tompok merah cerah pada paruh. Warna sayapnya pula coklat kehitaman, berbeza dengan warna badannya yang biru keunguan metalik. Badan burung betina berwarna hijau pudar, kepalanya berwarna kelabu, sayap berwarna coklat kemerahan, kaki kemerah-merahan serta kulit di sekeliling mata yang juga berwarna kemerah-merahan.


Spesies ini membiak sepanjang tahun, dan menghasilkan 5 hingga 6 biji telur dalam sarang yang dibuat daripada daun dan ranting kering dalam lubang cetek di tanah. Burung ini boleh dijumpai di kawasan hutan tanah pamah dan hutan bukit, hingga ketinggian 1,500 meter dari aras laut. 


Siul Berjambul ialah burung siul hutan yang biasa ditemui. Ia berpasangan dengan setia dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat, dengan selalu bergerak secara berkumpulan. Spesies burung ini masih biasa ditemui di beberapa tempat dan ia boleh hidup di kawasan hutan pembalakan dan kawasan hutan yang baru membangun semula.


Spesies ini hanya terdapat di kawasan tanah rendah Sunda, yang terletak di Myanmar (Selatan Tenasserim), Thailand, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia (Kalimantan dan Sumatera).

Di Malaysia, spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 64 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

 Syiling Siul Berjambul - Depan

Syiling Siul Berjambul - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Selasa, 25 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Ketujuh

MERPATI EMAS/NICOBAR PIGEON


Keluarga : Columbidae
Nama Biasa : Nicobar Pigeon
Nama Melayu : Merpati Emas
Nama Saintifik : Caloenas Nicobarica

Merpati yang unik ini mempunyai bulu berwarna hijau gelap yang bersinar, kepala dan sayap berwarna gelap dan ekor berwarna putih. Burung ini mempunyai bulu pelepah yang panjang berwarna hijau pada leher dan belakang, dengan hujung bulu pelepah ini membentuk juraian berwarna hijau keemasan. Terdapat satu tombol kecil pada bahagian bawah paruh dan burung ini berkaki pendek yang berwarna kemerah-merahan. Anak burung ini mempunyai bulu yang berwarna agak lusuh, ekor gelap serta tidak mempunyai bulu yang berjurai.


Musim membiak adalah dari bulan April hingga Mei setiap tahun dengan merpati betina bertelur sebiji sahaja dalam sarang yang dibuat di atas pokok, pada ketinggian antara 3 hingga 8 meter dari atas tanah. Merpati Emas boleh didapati di kepulauan kecil yang penuh dengan pokok, namun burung ini jarang kelihatan di hutan tepi pantai di tanah besar. Merpati ini selalunya berada di tanah dan melarikan diri daripada bahaya dengan terbang ke atas pokok untuk bersembunyi.


Burung ini ialah spesies tempatan di kepulauan Andaman dan Nicobar, Kupulauan Sunda Besar, Barat Kepulauan Sunda Kecil, Filipina, Sulawesi, Maluku, Kepulauan Palau, Utara kawasan New Guinea dan Utara Melanesia. Di beberapa bahagian di Asia Tenggara, seperti kepulauan di Selatan Myanmar (Pulau Coco), Tenasserim, Barat Thailand, Semenanjung Malaysia dan Cochinchina, burung ini merupakan spesies tempatan yang sukar ditemui.


Di Malaysia, spesies Merpati ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 93 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya). 

Syiling Merpati Emas - Depan

 Syiling Merpati Emas - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Keenam

ENGGANG BADAK/RHINOCEROS HORNBILL


Keluarga : Bucerotidae
Nama Biasa : Rhinoceros Hornbill
Nama Melayu : Enggang Badak
Nama Saintifik : Buceros Rhinoceros

Enggang Badak adalah antara spesies enggang yang paling popular. Burung ini boleh dibezakan oleh paruhnya yang berwarna kuning dan tompok merah di bahagian dasar. Enggang Badak mempunyai jambul berwarna merah jingga yang melentik ke atas dengan bahagian hujung berwarna kuning. Keseluruhan bulu pelepah burung ini berwarna hitam, abdomennya berwarna putih dan pada ekornya terdapat garisan besar berwarna hitam.


Spesies ini membiak dari bulan Januari hingga bulan Jun pada setiap tahun. Burung betina akan bertelur antara 1 hingga 2 biji telur di dalam sarang yang dibina dalam lubang semula jadi pada batang pokok, dengan sebahagian lapisan sarang diseliputi najis burung tersebut dan kulit buah-buahan. Kebiasaannya, sarang ini terletak antara 9 hingga 15 meter dari aras tanah. Enggang ini mendiami kawasan hutan tanah pamah, hingga pada ketinggian 1,300 meter dari aras laut. Burung ini boleh dilihat berpasangan atau dalam kumpulan kecil dan adakalanya dalam kumpulan besar yang terdiri daripada 25 ekor.


Enggang Badak menghasilkan bunyi kronk dengan nada yang berbeza-beza mengikut jantina dan adakalanya berkeok semasa terbang berpasang-pasangan dengan mengeluarkan bunyi kronk krank, kronk krank. Enggang Badak akan kembali ke sarangnya yang asal walaupun selepas kawasan hutan yang berhampiran telah diteroka. Kajian telah menunjukkan kegiatan pembalakkan akan memberi kesan yang kecil terhadap kepadatan jumlah spesies ini, walaupun kegiatan tersebut mengurangkan bilangan keseluruhan burung ini.


Enggang Badak boleh ditemui di Kepulauan Sunda Besar, Thailand, Semenanjung Malaysia dan Indonesia, malah pernah dilihat di Singapura. Spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 188 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya). Enggang Badak juga disenaraikan dalam The World Conservation Unit's Red List of Threatened Species sebagai burung yang hampir terancam. Burung ini disenaraikan di bawah Lampiran 2 dalam Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES). Walaupun hutan-hutan tanah pamah semakin berkurangan, kehadiran spesies ini di hutan bukit menunjukkan tiada tekanan yang mendesak akibat kehilangan habitat. Di Borneo, enggang ini diburu untuk makanan dan perhiasan oleh kaum peribumi.

Syiling Enggang Badak - Depan

Syiling Enggang Badak - Belakang.
Kod: Null
Harga syiling Enggang Badak dari pemerhatian saya adalah yang tertinggi berbanding syiling-syiling lain dalam siri ini kerana ia menjadi buruan para pengumpul dan sukar diperolehi. Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM35 - RM70.

Isnin, 24 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kelima

DENDANG GAJAH/ASIAN FAIRY BLUEBIRD


Keluarga : Irenidae
Nama Biasa : Asian Fairy Bluebird
Nama Melayu : Dendang Gajah
Nama Saintifik : Irena Puella

Burung jantan bagi spesies ini berwarna biru muda dan berkilat pada bahagian atas badan termasuk bahagian tongkeng. Pada bahagian bawah badan, sayap, ekor dan muka pula berwarna hitam. Bahagian badan burung betina berwarna biru muda kehijauan, sementara warna matanya adalah merah dengan bahagian tepi dan hujung sayapnya berwarna hitam.


Musim membiak bermula dari bulan Februari hingga Mei. Seekor burung betina akan bertelur antara 2 hingga 3 biji di dalam sarang berbentuk cawan yang cetek yang dibina di atas pokok atau di dalam semak, pada ketinggian antara 1 hingga 5 meter dari aras tanah. Burung ini boleh ditemui di kawasan tanah pamah dan hutan bukit, hingga ketinggian 1,400 meter dari aras laut, pada bahagian atas dan tengah kanopi pokok khususnya pada pokok ara yang hampir berbunga. Burung yang aktif dan mempunyai warna yang eksotik ini kebiasaannya boleh ditemui di dalam hutan. Ia boleh dilihat sama ada seekor, sepasang atau di dalam kumpulan-kumpulan kecil, bergerak dari satu pokok ke satu pokok lain.


Dendang Gajah boleh ditemui di Selatan India, Timur Laut sub-benua India, Sri Langka, Kepulauan Andaman, Barat Daya China, Kepulauan Sunda Besar dan Filipina (Palawan). Burung ini merupakan spesies tempatan dan biasa dilihat di Asia Tenggara (kecuali di bahagian tengah Thailand).


Di Malaysia, spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 283 dalam Jadual 3(burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

 Syiling Dendang Gajah - Depan

Syiling Dendang Gajah - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Keempat

PEKAKA SUNGAI/COLLARED KINGFISHER


Keluarga : Alcedinidae
Nama Biasa : Collared Kingfisher
Nama Melayu : Pekaka Sungai
Nama Saintifik : Halcyon Chloris

Pekaka Sungai dibezakan oleh warnanya yang biru muda kehijauan pada bahagian atas kepala, belakang badan, sayap dan ekor. Bahagian relang leher dan bawah badannya berwarna keputih-putihan dan dipisahkan pula oleh garis hitam yang halus. Kaki dan paruh pula berwarna kelabu hitam. Ketika terbang, warna biru kehijauan jelas kelihatan pada sayap. Panjang keseluruhan burung ini dari hujung paruh sehingga ke hujung ekor adalah antara 24 hingga 26 cm.


Musim membiak bermula dari bulan Disember hingga Ogos setiap tahun. Burung betina akan bertelur antara 3 hingga 7 biji di dalam sarang yang ditebuk pada pokok, bekas sarang anai-anai, pokok mati atau pun tanah yang curam setinggi 6 meter dari aras tanah. 


Semasa berhijrah, burung pekaka ini boleh dijumpai di kawasan paya bakau, kawasan tepi laut, pantai berpasir, tanah yang telah diusahakan serta ladang pertanian. Ketika berhijrah, burung ini boleh terbang sehingga ke tinggian 1,300 meter dari aras laut. Burung ini selalunya bertenggek di atas dahan atau wayar di kawasan terbuka sambil mencari mangsa.


Spesies ini boleh ditemui di bahagian Selatan Laut Merah, UAE, Oman, Barat Daya dan Timur India, Bangladesh, Kepulauan Andaman dan Nicobar, Kepulauan Sunda Besar, Filipina, Wallacea, Micronesia, kawasan New Guinea dan Utara Australia sehinggalah ke Samoa dan Tonga. Di Asia Tenggara, burung ini ialah spesies tempatan di kawasan tepi laut antara Timur Tonkin dan Utara Annam. Ia juga spesies tempatan di Timur Laut Thailand, Semenanjung Malaysia dan di sepanjang Sungai Mekong di Kemboja dan Cochinchina.

Di Malaysia, Pekaka Sungai dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 172 dalam Jadual 3(burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

Syiling Pekaka Sungai- Depan

Syiling Pekaka Sungai - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.