Selasa, 23 Oktober 2012

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-50 (Coin Card)


PENGENALAN

Di Malaysia, pada zaman kerajaan Melayu tradisional, penggunaan bunga mas, duit tampang dan duit lain seperti duit pitih dan mas kijang banyak digunakan dan kebanyakannya dalam bentuk syiling. Selain bentuk ini, terdapat juga dalam bentuk lain yang digunakan yang bermotifkan flora dan fauna.

Duit syiling pernah digunakan semasa zaman kerajaan Melayu Tradisional termasuk kerajaan Melaka, Terengganu, Kelantan, Johor dan sebagainya. Negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka turut mempunyai mata wang sendiri termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Selepas kemerdekaan, duit syiling dikeluarkan dengan diberikan nilai tertentu seperti 1sen, 5 sen, 10sen, 20sen, 50sen dan RM1. Malahan sebelum merdeka terdapat juga duit syiling dengan nilai serendah 1/2 sen dan 3/4sen. 

Bagi memperingati peristiwa-peristiwa tertentu, kebiasaannya duit syiling peringatan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad. Ini menjadikan duit syiling peringatan bernilai tinggi dan sesuai dijadikan koleksi peribadi bagi individu-individu yang berminat.

Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-50, duit syiling ini dikeluarkan khas buat rakyat Malaysia untuk sama-sama meraikan kemegahan dan sebagai simbol kecintaan kita kepada negara.

Duit Syiling Kesultanan Melayu

Duit syiling zaman pemerintahan Kesultanan Melaka (Tahun 1445)

Duit syiling Emas kupang Kelantan (Duit syiling Kijang emas kurun ke-16)

Duit syiling Emas kupang Kelantan (Duit syiling  Dinar Matahari kurun ke-16)

Duit berbentuk ayam jantan bertenggek. (Zaman pemerintahan Sultan Muhamad Jiwa, Kedah 1710-1773)

Duit Syiling Zaman Penjajahan

Duit syiling Dolar emas bertarikh 1895 dan dimuatkan ke dalam kotak yang diperbuat dari gading gajah.

Duit syiling Portugis dan Belanda.

Duit syiling dari negeri-negeri selat yang dikeluarkan semasa pemerintahan British

Duit syiling Aluminium semasa pemerintahan Jepun tertera perkataan "Malaysia" dengan tarikh Jepun 2602 (TM 1942)

Duit Syiling Peringatan Kemerdekaan

Sambutan Kemerdekaan kali ke-25 (1957-1982)

Sambutan Kemerdekaan kali ke-30 (1957-1987)

Sambutan Kemerdekaan kali ke-45 (1957-2002)

Duit Syiling Edaran Biasa

Duit syiling edaran biasa selepas Merdeka (1967-1988)

Duit syiling edaran biasa (1989-2011)
___________________________________________________________________

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Bapa Kemerdekaan
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah
Tempoh berkhidmat: 31 Ogos 1957 - 22 September 1970

Digelar sebagai "Bapa Kemerdekaan". Beliau bersama-sama Dato' Onn Jaafar menggerakkan UMNO dalam menaikkan semangat nasionalisme menentang Malayan Union pada tahun 1946. Memimpin Parti Perikatan dalam pilihanraya pertama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dan mendapat kemenangan yang besar. Seterusnya beliau mengetuai rombongan kemerdekaan ke London untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Menubuhkan Malaysia pada tahun 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak.

Bapa Pembangunan
Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein
Tempoh berkhidmat: 22 September 1970 - 14 Januari 1976

Digelar sebagai "Bapa Pembangunan". Melancarkan Dasar Ekonomi Baru (1971) yang bertujuan mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Pencapaian utama beliau termasuk perumusan dasar pembangunan yang dikenali sebagai "Buku Merah". Menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan Parti Perikatan.


Bapa Perpaduan
Tun Hussein bin Dato' Onn
Tempoh berkhidmat: 15 Januari 1976 - 16 Julai 1981

Digelar sebagai "Bapa Perpaduan" dan terkenal dengan ketegasan beliau terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dalam masyarakat Malaysia. Pada 20 April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional, iaitu satu dana amanah bumiputera yang bertujuan meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.

Bapa Pemodenan
Tun Dr. Mahathir bin Mohamed
Tempoh berkhidmat: 16 Julai 1981 - 31 Oktober 2003

Digelar "Bapa Pemodenan Malaysia". Beliau banyak memulakan usaha pembangunan untuk membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara luar dan memacu Malaysia ke arah negara maju dan negara perindustrian. Antara jasa yang tinggalkan beliau ialah projek kereta nasional pada tahun 1983, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pembinaan Menara Berkembar Petronas, Koridor Raya Multimedia Malaysia serta memindahkan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya.

Bapa Pembangunan Modal Insan
Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Tempoh berkhidmat: 31 Oktober 2003 - 3 April 2009

Digelar "Bapa Pembangunan Modal Insan". Beliau memperkenalkan konsep Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang memperlihatkan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah sejajar dengan ajaran Islam. Berusaha untuk memupuk nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berilmu yang seterusnya membawa kepada pembentukan modal insan yang mempunyai tahap minda kelas pertama. Pada masa yang sama, beliau memastikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini sentiasa berada dalam keadaan utuh dan masyarakat hidup dalam keadaan harmoni antara satu sama lain.
___________________________________________________________________
 

Syiling Sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 (Depan)

Syiling Sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 (Belakang)

Kod:00.57
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM50 - RM95.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan