Selasa, 6 November 2012

Penerbitan Duit Syiling Peringatan Sempena Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia Ke-10, 2002

Pada 29 Januari 2002, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan 3 jenis duit syiling peringatan bersempena Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia ke 10. Kejohanan ini akan berlangsung di Kuala Lumpur mulai 24 Februari sehingga 9 Mac 2002.

Ketiga-tiga jenis duit syiling peringatan ini adalah sah diperlakukan dan spesifikasinya adalah seperti berikut : 

Syiling Emas Peruf
1. Duit Syiling Emas ( peruf )
Duit syiling peruf ini diperbuat daripada logam Emas dengan tahap ketulenan .900 (90%) seberat 9 gram setiap keping. Ia mempunyai nilai muka RM100 dan akan dijual pada mulanya dengan harga RM800.00. Kuantiti tempaan terhad sebanyak 500 keping sahaja. 


2. Duit Syiling Perak ( peruf ) 
Duit syiling peruf ini diperbuat daripada logam Perak Sterling dengan tahap ketulenan .925 (92.5%) seberat 16.8 gram setiap keping. Ia mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada mulanya dengan harga RM150.00 sekeping. Kuantiti tempaan terhad sebanyak 2,500 keping sahaja. 

Duit syiling ini diperbuat daripada campuran tiga jenis logam iaitu Tembaga (84%), Zink (12%) dan Timah (4%) bernilai muka RM1. Setiap keping akan dijual pada mulanya dengan harga RM10 setiap satu dan kuantiti tempaan terhad sebanyak 100,000 keping sahaja.

Set 2 dalam 1 Syiling Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia Ke-10

Duit syiling Emas dan Perak juga boleh didapati dalam set berkembar 2 dalam 1. Harga jualan setiap set ditetapkan pada mulanya dengan harga RM1,000 dan terhad kepada 500 set sahaja. 

Reka bentuk Duit Syiling 

Syiling Perak Peruf Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia Ke-10
Kesemua jenis duit syiling yang dikeluarkan mempunyai persamaan dari segi reka bentuk iaitu reka bentuk hadapan memaparkan sebahagian peta dunia, aksi dua pemain hoki dan mercu tanda Kuala Lumpur yang terdiri daripada Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur sebagai reka bentuk latar. Manakala reka bentuk bahagian belakang pula memaparkan logo rasmi Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia 2002 dan nilai muka.

Spesifikasi Teknikal

Jenis Emas Perak Tembaga-Zink-Timah
Kandungan Logam Emas .900 Perak .925 Tembaga (84%), Zink (12%), Timah (4%)
Klasifikasi Peruf Peruf Kilatan Istimewa
Diameter 22.0 mm 32.0 mm 26.0 mm
Weight 9.0 gram 16.8 gram 10.4 gram
Tempaan Diluluskan 1,000 keping 3,000 keping 100,000 keping
Nilai Muka RM100 RM10 RM1
Harga Jualan RM800 sekeping RM150 sekeping RM10 sekeping

Pusat-pusat Jualan

Duit syiling peringatan kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia ke 10 ditempa oleh The Royal Mint of Malaysia, Shah Alam. Kesemua duit syiling ini dijual mulai 29 Januari 2002 dan boleh didapati di cawangan-cawangan utama 5 buah bank perdagangan iaitu Affin Bank Berhad, Bumiputra-Commerce Bank Berhad, Maybank Berhad, Public Bank berhad dan Southern Bank berhad. Duit syiling peringatan ini juga boleh dibeli dari Ibu pejabat Bank Negara Malaysia, Jalan Dato' Onn serta di cawangan-cawangan Bank Negara seluruh Malaysia dan The Royal Mint of Malaysia, Shah Alam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan