Jumaat, 2 November 2012

Duit Syiling Peringatan 100 Tahun Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Coin Card)

Coin Card bersama kotak


100 TAHUN Y.T.M. TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan di Istana Tiga Tingkat di Alor Setar, Kedah pada 8 Februari 1903. Beliau merupakan anak ketujuh Sultan Kedah ke-24, Sultan Abdul Hamid Halimshah.

Ketika berusia sepuluh tahun, bondanya menghantar beliau tinggal bersama kekanda sulungnya, Tunku Yusuf yang menetap di Bangkok pada masa itu. Di sana beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Debsurin. Tunku pulang semula ke Kedah apabila Tunku Yusuf kembali ke rahmatullah dan meneruskan persekolahan di Penang Free School. Kemudian Tunku menyambung pelajarannya di Universiti Cambridge dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Undang-undang dan Sejarah pada tahun 1925.

Coin card tanpa kotak

Sekembalinya ke Malaya pada tahun 1926, Tunku telah menyandang beberapa jawatan pentadbiran dalam Kerajaan. Kemudian, Tunku bergiat dalam bidang politik. Sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Tunku tabah memperjuangkan penyatuan kaum sehingga akhirnya beliau dilantik sebagai Presiden.

Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1933 dengan seorang gadis berketurunan Cina yang memeluk Islam bernama Meriam. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tunku Khadijah dan Tunku Ahmad Nerang.

Sebagai Presiden UMNO, Tunku meneruskan perjuangan beliau dan berjaya membentuk satu perikatan antara UMNO, Persatuan Cina Malaya (MCA), dan Kongres India Malaya (MIC). Beliau juga seorang yang mempunyai kepercayaan yang teguh dalam pergerakan kemerdekaan dan termasuk dalam delegasi yang dihantar ke Landon untuk berunding tentang pembebasan Malaya daripada penjajahan British.

Pada 31 Ogos 1957, di Stadium Merdeka, Tunku mengisytiharkan Malaya sebagai sebuah negara merdeka. Laungan "Merdeka" bergema dan disambut oleh ribuan anak bangsa yang berada di situ dan jutaan rakyat yang mengikuti siaran melalui radio.

Tunku telah menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya pertama dan memegang jawatan tersebut lebih daripada satu dekad. Beliau seorang yang berbudi bahasa, berdiplomasi dan semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau menerajui antara lain, pembentukan Malaysia dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

 
Tunku melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1970 kepada timbalannya Tun Abdul Razak Hussein. Walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, beliau terus memberikan sumbangan dari segi buah fikiran dan idea melalui buku-buku, ruangan di akhbar dan ucapan-ucapan tertentu. Oleh itu, beliau menjadi tokoh yang popular di segenap lapisan masyarakat.


Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1990 semasa berusia 87 tahun. Pemergiannya diratapi oleh seluruh rakyat.

Syiling 100 Tahun Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj - Depan

Syiling 100 Tahun Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj - Belakang
Kod:00.06
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM55 - RM65 untuk yang mempunyai kotak dan antara RM45-RM55 untuk yang tiada kotak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan