Selasa, 18 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Pertama Haiwan Darat Keluaran Kesepuluh

RUSA SAMBAR/SAMBAR DEER


Keluarga : Cervidae
Nama Biasa : Rusa Sambar
Nama Melayu : Rasa
Nama Saintifik : Cervus Unicolour

Rusa sambar merupakan binatang buruan yang paling popular di rantau ini sama seperti kijang. Walaupun bilangannya banyak pada masa dahulu, namun eksploitasi yang berlebihan telah menyebabkan ia semakin berkurangan di sesetengah tempat. Pemburuan haram dan kemusnahan habitat turut menyumbang kepada penurunan populasi rusa sambar ini. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, populasi haiwan ini akan terancam di masa hadapan.


Seperti spesies lain di dalam kumpulan haiwan artiodactyla, rusa sambar merupakan ungulate yang mempunyai jari genap. Rusa sambar dewasa mempunyai ketinggian antara 48 inci hingga 56 inci pada paras bahu serta 5 kaki hingga 7 kaki panjang. Beratnya ialah antara 150kg hingga 212kg. Terdapat perbezaan ciri-ciri fizikal antara haiwan betina dan jantan. Haiwan betina adalah lebih kecil, ramping dan tidak mempunyai rangga. Warna badan ialah antara coklat kelabu atau coklat gelap. Bahagian bawah ekor berwarna putih dan kelihatan amat ketara apabila ekor diangkat semasa memberi isyarat.

Anak-anak yang baru lahir tidak mampunyai tompok-tompok seperti yang terdapat pada spesies rusa yang lain seperti kijang. Rangga rusa adalah berbeza daripada lembu kerana ia adalah tulang sebenar. Rangga rusa sambar ini akan tanggal pada setiap tahun. Rangga terbentuk daripada kalsium yang terkumpul dan memanjang pada 'pedicle' yang menerima sumber darah daripada kulit dan bulu halus yang menutupi rangga tersebut. Saiz rangga akan mencecah tahap maksima apabila haiwan ini berusia 8-10 tahun.


Rusa sambar memakan pelbagai jenis daun-daun, buah-buahan yang gugur dan pucuk-pucuk muda. Haiwan ini selalunya berlindung di dalam hutan pada waktu siang dan akan aktif pada waktu malam apabila ia keluar mencari makanan di kawasan lapang untuk mencari sira, terutama apabila kalsium yang banyak diperlukan bagi pertumbuhan rangga.

Kumpulan kecil selalunya terdiri daripada rusa betina dan anak-anak. Rusa jantan selalunya bersendirian dan akan hanya bercampur dengan kumpulan semasa musim mengawan. Rusa betina akan bunting selama 8 bulan dan biasanya melahirkan seekor anak. Jangka hayat haiwan ini adalah antara 16-20 tahun.


Rusa sambar merupakan spesies rusa yang paling besar di Asia Tenggara. Ia mempunyai bulu yang kasar serta rangga yang besar dan panjang. Taburan spesies merangkumi sebahagian besar Asia daripada Sri Lanka dan Selatan India sehingga ke Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Rusa sambar dilindungi sebagai binatang buruan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972.

Syiling Rusa Sambar - Depan

Syiling Rusa Sambar - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM30.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan