Khamis, 13 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Pertama Haiwan Darat Keluaran Kelapan

KAMBING GURUN/SEROW


Keluarga : Bovidae
Nama Biasa : Kambing Gurun
Nama Melayu : Kambing Gurun
Nama Saintifik : Capricornis Sumatrensis

Kambing Gurun merupakan antara spesies hidupan liar yang amat sukar ditemui kerana jarang keluar dari kawasan berbukit dan berbatu. Akibatnya tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai spesies kambing liar ini.

Kambing gurun mempunyai kepala yang besar dengan telinga seperti telinga keldai. Badan yang tegap berwarna kehitaman dan mempunyai bulu-bulu panjang berwarna putih di atas tengkoknya. Walaupun kedua-dua jantan dan betina mempunyai tanduk yang berwarna hitam, secara amnya tanduk kambing gurun betina adalah lebih pendek berbanding dengan jantan.


Kambing gurun jantan juga mempunyai tanduk yang runcing dan bergelang berbanding kambing gurun betina. Kambing gurun mempunyai deria bau, pendengaran dan penglihatan yang baik. Kambing gurun betina akan melahirkan antara satu hingga dua ekor anak setelah bunting selama tujuh bulan. Anak kambing gurun yang berwarna perang selalunya akan bersama ibunya selama satu tahun sebelum dapat berdikari.


Haiwan ini boleh dijumpai di kawasan bukit yang berbatu dan kadang kala akan turun untuk mencari makanan dan minuman. Gua batu dan lubang besar akan dijadikan tempat tinggal oleh haiwan ini. Kebiasaannya bersendirian tetapi kadang kala boleh ditemui di dalam kumpulan antara 5 hingga 6 ekor. Kambing gurun biasanya akan mencari makanan pada waktu pagi dan petang. Makanan utamanya terdiri daripada rumput dan daun-daun. Lazimnya, haiwan ini akan berjemur di kawasan berbatu selepas makan pada waktu pagi.


Taburan kambing gurun merangkumi Indonesia (Sumatera), Semenanjung Malaysia, Thailand, Myanmar, Indochina, Selatan China dan India (Assam hingga ke Himalaya, Kashmir dan Punjab). Pemburuan haram untuk mendapatkan dagingnya serta kemusnahan habitat telah menyebabkan populasi kambing gurun semakin terancam di rantau ini.

Kambing Gurun dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972.


Syiling Kambing Gurun - Depan

Syiling Kambing Gurun- Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM30.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan