Rabu, 19 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Pertama Haiwan Darat Keluaran Keduabelas

MONYET BANGKATAN/PROBOSCIS MONKEY


Keluarga : Cercopithectdae
Nama Biasa : Monyet Bangkatan
Nama Melayu : Kera Belanda, Bangkatan, Rasong.
Nama Saintifik : Nasalis Larvatus

Monyet Bangkatan tergolong di dalam kumpulan kera yang dikenali sebagai "colobines" atau pemakan daun yang mempunyai perut buncit. Jantina monyet bangkatan boleh dikenal pasti melalui saiz badan dan hidungnya. Secara purata berat badan monyet jantan ialah antara 16 hingga 22 kilogram sementara monyet betina antara 7 hingga 12 kilogram. Selain daripada itu, hidung monyet jantan adalah lebih besar dan tajam berbanding dengan betina. Hidung monyet jantan ini membantunya mengeluarkan bunyi.


Warna bulu monyet bangkatan ini adalah merah jambu dan coklat dengan bahagian atas kepala, jambul dan bahu berwarna merah. Tangan, kaki dan ekornya pula berwarna kelabu. Terdapat juga tompok-tompok berwarna putih kekuning-kuningan pada pipi dan leher haiwan ini. Anak yang baru lahir mempunyai muka berwarna biru cerah. Warna mukanya akan berubah menjadi kelabu gelap pada usia 2 1/2 bulan. Warna kelabu ini akan bertukar cerah seperti monyet dewasa apabila ianya berusia 8 1/2 bulan.


Monyet bangkatan ditemui di Kepulauan Borneo. Spesies ini gemar mendiami kawasan hutan campuran nipah-bakau, hutan bakau dan hutan tanah pamah. Di Sarawak, haiwan ini ditemui mendiami kawasan hutan tepian sungai dan hutan campuran bakau kerangas. Kewujudan spesies ini boleh dikatakan terhad di kawasan pantai dan berhampiran sungai kerana kawasan pendalaman mempunyai tanah yang rendah kandungan galian dan garam untuk memenuhi keperluan dietnya. Haiwan ini juga dikatakan suka menjauhkan diri dari kawasan terbuka seperti kawasan pertanian. Makanan utama haiwan ini terdiri daripada buah-buahan atau bijian dan daun-daun muda. Tabiatnya yang suka memakan bijian telah banyak membantu di dalam mengekalkan kepelbagaian spesies tumbuhan di dalam kawasan ia tinggal. Pucuk dan bunga bakau turut disukai oleh monyet bangkatan. Haiwan ini lazimnya mencari makanan pada waktu pagi dan petang. Waktu paling aktif ialah daripada lewat tengahari hingga malam.


Monyet yang unik ini diancam kepupusan akibat daripada kemusnahan habitat dan pemburuan. Habitat asalnya kini telah banyak diterokai untuk tujuan pembalakan dan pertanian.

Spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar (No. 6, 1997) Sabah dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 (Sarawak).

Syiling Monyet Bangkatan - Depan

Syiling Monyet Bangkatan - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM30.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan