Khamis, 13 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Pertama Haiwan Darat Keluaran Ketujuh

TAPIR MALAYA/MALAYAN TAPIR


Keluarga : Tapiridae
Nama Biasa : Tapir Malaya
Nama Melayu : Tenuk, Cipan, Badak Tampong
Nama Saintifik : Tapirus Indicus

Tapir merupakan salah satu daripada mamalia yang masih mengekalkan bentuk asalnya sejak dari dahulu. Walaupun haiwan ini tidak diburu, habitatnya yang semakin mengecil telah menyebabkan ianya terancam.

Tapir merupakan haiwan yang tegap dengan ekor yang pendek. Ia mempunyai kaki hadapan yang pendek dengan empat jari dan tiga jari pada kaki belakang. Antara ciri-ciri tapir yang menyerlah ialah muncungnya yang menyerupai belalai pendek. Bahagian bertanda hitam putih pada tapir dewasa turut memberi haiwan ini rupa yang ketara.


Anak tapir berbadan gelap serta mempunyai jalur-jalur dan tompok-tompok putih pada badan. Jalur-jalur dan tompok-tompok ini akan hilang apabila berumur antara 6 hingga 8 bulan. Tapir mempunyai mata yang kecil dan sepasang telinga seperti kerbau. Pembiakan selalunya berlaku dalam bulan April hingga Jun. Anak tapir akan dilahirkan setelah tempoh bunting antara 390 hari hingga 395 hari. Anak tapir akan berada bersama ibunya selama 6 hingga 8 bulan dan akan matang apabila berumur 2 setengah tahun hingga 3 setengah tahun.


Tapir Malaya adalah merupakan satu-satunya spesies yang terdapat di hemisfera timur berbanding dengan spesies tapir yang lain yang terdapat di Amerika Tengah dan Selatan. Tapir secara amnya adalah haiwan yang pemalu, tidak agresif dan aktif pada waktu malam. Haiwan ini suka bersendirian dan gemar menghuni kawasan hutan yang tebal berdekatan dengan air. Haiwan ini akan bergerak jauh mencari makanan yang terdiri daripada rumput, tumbuhan air, daun, tunas, ranting lembut dan buah-buahan. Muncungnya digunakan untuk mencapai makanan yang susah dicapai dan menariknya masuk ke dalam mulut.


Tapir boleh ditemui di tanah pamah pada musim kering dan akan berhijrah ke kawasan pergunungan semasa musim hujan. Haiwan ini mahir berenang dan memanjat. Tapir juga dianggap sebagai haiwan yang primitif dan paling kurang menyesuaikan diri dengan perubahan masa. Taburan haiwan ini merangkumi Thailand, Myanmar, Indochina, Indonesia (Sumatera) dan Semenanjung Malaysia. Kemusnahan habitat dan pemburuan di sesetengah negara telah menyebabkan penurunan di dalam populasinya di rantau ini.

Tapir dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972.

Syiling Tapir Malaya - Depan

Syiling Tapir Malaya -Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM30.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan