Jumaat, 7 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Pertama Haiwan Darat Keluaran Kedua

ORANG UTAN/ORANG UTAN


Keluarga : Pongidae
Nama Biasa : Orang Utan
Nama Melayu : Orang Utan
Nama Saintifik : Pongo Pygmaeus

Orang Utan merupakan haiwan arboreal yang terbesar di dunia kini diancam oleh pemburuan dan perniagaan hidupan liar haram.

Keluarga Pongidae terdiri daripada spesis primat besar yang tidak berekor serta cerdik seperti Chimpanzee dan Gorila di Afrika dan Orang Utan yang terdapat di Borneo dan Sumatera.


Orang Utan mudah dikenali berdasarkan kepada bulunya yang bewarna coklat kemerahan. Walau bagaimanapun haiwan yang tua mempunyai warna bulu yang lebih gelap. Kehadiran haiwan ini di dalam hutan boleh diketahui melalui sarang yang dibina daripada ranting-ranting patah dijalin di atas dahan pokok-pokok besar. Kehadiran Orang Utan kadang kala boleh dikesan daripada kesan tapak kaki di atas tanah atau kesan makanan yang dibuang di atas tanah.


Ancaman utama kepada populasi Orang Utan ialah pembukaan hutan yang menyebabkan kemusnahan habitat mereka. Anak Orang Utan turut ditangkap untuk dijual sebagai haiwan peliharaan.

Orang Utan aktif pada waktu siang dan banyak menghabiskan masanya di atas pokok. Makanan utamanya terdiri daripada buah-buahan, daun dan serangga. Haiwan ini suka bersendirian walaupun pada kebiasaannya anak Orang Utan akan bersama ibunya sehingga umurnya mencapai 5 atau 6 tahun.


Orang Utan boleh ditemui di dalam hutan gunung, sekunder dan paya. Walau bagaimanapun haiwan ini lebih kerap mendiami hutan dipterokarp tanah pamah. Taburan Orang Utan adalah terhad kepada Borneo dan Sumatera sahaja.

Orang Utan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972.

 Syiling Orang Utan - Depan

Syiling Orang Utan - Belakang.

Kod:Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM15 - RM60. Harga syiling Orang Utan ini agak mahal berbanding syiling lain dalam siri ini kerana ia sukar diperolehi dan menjadi rebutan para pengumpul. Terdapat 2 versi kenapa keadaan ini berlaku namun kesimpulan akhirnya sama iaitu kononnya syiling ini banyak terdapat di Sabah. 

Cerita versi pertama - kononnya ketika syiling ini mula dikeluarkan/diperkenalkan pada bulan April 2003, ianya telah diborong dalam kuantiti yang banyak oleh pemborong/pengumpul orang Sabah memandangkan Orang Utan memang salah satu tarikan di Sabah. Ini menyebabkan edaran di semenanjung menjadi kurang dan harganya melonjak naik.

Cerita versi kedua - oleh kerana Orang Utan merupakan salah satu tarikan utama di negeri Sabah, pihak BNM telah memutuskan untuk menghantar sebahagian besar syiling ini ke negeri tersebut untuk dijual bagi memenuhi pemintaannya di sana.

Walau bagaimanapun, kedua-dua cerita ini lebih dilihat sebagai andaian sesetengah pihak sahaja yang sukar disahkan kebenarannya. Apapun terpulanglah kepada masing-masing untuk mempercayainya atau tidak, namun yang pastinya harga syiling ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan