Jumaat, 21 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kedua

KUANG RAYA/GREAT ARGUS


Keluarga : Phasianidae
Nama Biasa : Great Argus
Nama Melayu : Kuang Raya
Nama Saintifik : Argusianus Argus

Kuang Raya yang merupakan antara burung yang amat terkenal di Asia Tenggara sering didengar berkicau namun ia jarang kelihatan di hutan. Kuang Raya jantan dan betina mempunyai bulu pelepah berwarna coklat gelap dengan tompok-tompok kecil keperangan yang berselerak, serta muka dan leher yang berwarna kebiru-biruan. Kuang Raya jantan kelihatan sangat besar disebabkan bulu bulu pelepah sayap dan ekor yang memanjang dengan corak tompok yang kompleks seperti tahi lalat pada sayap semasa dipamerkan.


Kuang Raya jantan menarik perhatian burung betina dengan menari-nari di kawasan yang bersih dan mengeluarkan bunyi kokokan 'ki-wow!' yang kuat, setiap dua kali jeritan.


Pada setiap musim membiak, iaitu antara bulan Mac hingga Ogos, Kuang Raya betina bertelur sebanyak dua biji dalam sarang yang terletak di atas tanah antara banir pokok. Kadangkala sarang yang berbentuk bujur dan melengkung ke dalam yang berisi dedaun dibuat atas tunggul pokok pada ketinggian 1.5 meter dari aras tanah. Burung yang sungguh menarik ini boleh ditemui di kawasan tanah pamah dan hutan bukit, sehingga ke ketinggian 900 meter dari aras laut.



Burung yang bersifat pemalu ini terdapat di tiga buah negara iaitu Indonesia (Sumatera), Thailand (kawasan selatan dan Tenasserim) dan Malaysia (semenanjung Malaysia dan Borneo).

Di Malaysia, spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972, dan disenaraikan sebagai nombor 70 dalam Jadual 3(burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya). World Conservation Union telah mengkategorikan burung ini dalam 'Red List of Threatened Species' sebagai spesies yang hampir mencapai tahap terancam.

Syiling Kuang Raya - Depan

Syiling Kuang Raya - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan