Rabu, 26 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Kelapan

SIUL BERJAMBUL/CRESTED WOOD PARTRIDGE


Keluarga : Phasianidae
Nama Biasa : Crested Wood Partridge
Nama Melayu : Siul Berjambul
Nama Saintifik : Rollulus Rouloul

Burung jantan spesies ini berwarna biru gelap berkilat dangan jambul merah gelap. Kaki dan kulit di sekeliling mata berwarna merah dan terdapat tompok merah cerah pada paruh. Warna sayapnya pula coklat kehitaman, berbeza dengan warna badannya yang biru keunguan metalik. Badan burung betina berwarna hijau pudar, kepalanya berwarna kelabu, sayap berwarna coklat kemerahan, kaki kemerah-merahan serta kulit di sekeliling mata yang juga berwarna kemerah-merahan.


Spesies ini membiak sepanjang tahun, dan menghasilkan 5 hingga 6 biji telur dalam sarang yang dibuat daripada daun dan ranting kering dalam lubang cetek di tanah. Burung ini boleh dijumpai di kawasan hutan tanah pamah dan hutan bukit, hingga ketinggian 1,500 meter dari aras laut. 


Siul Berjambul ialah burung siul hutan yang biasa ditemui. Ia berpasangan dengan setia dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat, dengan selalu bergerak secara berkumpulan. Spesies burung ini masih biasa ditemui di beberapa tempat dan ia boleh hidup di kawasan hutan pembalakan dan kawasan hutan yang baru membangun semula.


Spesies ini hanya terdapat di kawasan tanah rendah Sunda, yang terletak di Myanmar (Selatan Tenasserim), Thailand, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia (Kalimantan dan Sumatera).

Di Malaysia, spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 64 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

 Syiling Siul Berjambul - Depan

Syiling Siul Berjambul - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan