Isnin, 24 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Keempat

PEKAKA SUNGAI/COLLARED KINGFISHER


Keluarga : Alcedinidae
Nama Biasa : Collared Kingfisher
Nama Melayu : Pekaka Sungai
Nama Saintifik : Halcyon Chloris

Pekaka Sungai dibezakan oleh warnanya yang biru muda kehijauan pada bahagian atas kepala, belakang badan, sayap dan ekor. Bahagian relang leher dan bawah badannya berwarna keputih-putihan dan dipisahkan pula oleh garis hitam yang halus. Kaki dan paruh pula berwarna kelabu hitam. Ketika terbang, warna biru kehijauan jelas kelihatan pada sayap. Panjang keseluruhan burung ini dari hujung paruh sehingga ke hujung ekor adalah antara 24 hingga 26 cm.


Musim membiak bermula dari bulan Disember hingga Ogos setiap tahun. Burung betina akan bertelur antara 3 hingga 7 biji di dalam sarang yang ditebuk pada pokok, bekas sarang anai-anai, pokok mati atau pun tanah yang curam setinggi 6 meter dari aras tanah. 


Semasa berhijrah, burung pekaka ini boleh dijumpai di kawasan paya bakau, kawasan tepi laut, pantai berpasir, tanah yang telah diusahakan serta ladang pertanian. Ketika berhijrah, burung ini boleh terbang sehingga ke tinggian 1,300 meter dari aras laut. Burung ini selalunya bertenggek di atas dahan atau wayar di kawasan terbuka sambil mencari mangsa.


Spesies ini boleh ditemui di bahagian Selatan Laut Merah, UAE, Oman, Barat Daya dan Timur India, Bangladesh, Kepulauan Andaman dan Nicobar, Kepulauan Sunda Besar, Filipina, Wallacea, Micronesia, kawasan New Guinea dan Utara Australia sehinggalah ke Samoa dan Tonga. Di Asia Tenggara, burung ini ialah spesies tempatan di kawasan tepi laut antara Timur Tonkin dan Utara Annam. Ia juga spesies tempatan di Timur Laut Thailand, Semenanjung Malaysia dan di sepanjang Sungai Mekong di Kemboja dan Cochinchina.

Di Malaysia, Pekaka Sungai dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 172 dalam Jadual 3(burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya).

Syiling Pekaka Sungai- Depan

Syiling Pekaka Sungai - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan