Selasa, 25 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Keenam

ENGGANG BADAK/RHINOCEROS HORNBILL


Keluarga : Bucerotidae
Nama Biasa : Rhinoceros Hornbill
Nama Melayu : Enggang Badak
Nama Saintifik : Buceros Rhinoceros

Enggang Badak adalah antara spesies enggang yang paling popular. Burung ini boleh dibezakan oleh paruhnya yang berwarna kuning dan tompok merah di bahagian dasar. Enggang Badak mempunyai jambul berwarna merah jingga yang melentik ke atas dengan bahagian hujung berwarna kuning. Keseluruhan bulu pelepah burung ini berwarna hitam, abdomennya berwarna putih dan pada ekornya terdapat garisan besar berwarna hitam.


Spesies ini membiak dari bulan Januari hingga bulan Jun pada setiap tahun. Burung betina akan bertelur antara 1 hingga 2 biji telur di dalam sarang yang dibina dalam lubang semula jadi pada batang pokok, dengan sebahagian lapisan sarang diseliputi najis burung tersebut dan kulit buah-buahan. Kebiasaannya, sarang ini terletak antara 9 hingga 15 meter dari aras tanah. Enggang ini mendiami kawasan hutan tanah pamah, hingga pada ketinggian 1,300 meter dari aras laut. Burung ini boleh dilihat berpasangan atau dalam kumpulan kecil dan adakalanya dalam kumpulan besar yang terdiri daripada 25 ekor.


Enggang Badak menghasilkan bunyi kronk dengan nada yang berbeza-beza mengikut jantina dan adakalanya berkeok semasa terbang berpasang-pasangan dengan mengeluarkan bunyi kronk krank, kronk krank. Enggang Badak akan kembali ke sarangnya yang asal walaupun selepas kawasan hutan yang berhampiran telah diteroka. Kajian telah menunjukkan kegiatan pembalakkan akan memberi kesan yang kecil terhadap kepadatan jumlah spesies ini, walaupun kegiatan tersebut mengurangkan bilangan keseluruhan burung ini.


Enggang Badak boleh ditemui di Kepulauan Sunda Besar, Thailand, Semenanjung Malaysia dan Indonesia, malah pernah dilihat di Singapura. Spesies ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972 dan disenaraikan sebagai nombor 188 dalam Jadual 3 (burung-burung liar yang dilindungi sepenuhnya). Enggang Badak juga disenaraikan dalam The World Conservation Unit's Red List of Threatened Species sebagai burung yang hampir terancam. Burung ini disenaraikan di bawah Lampiran 2 dalam Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES). Walaupun hutan-hutan tanah pamah semakin berkurangan, kehadiran spesies ini di hutan bukit menunjukkan tiada tekanan yang mendesak akibat kehilangan habitat. Di Borneo, enggang ini diburu untuk makanan dan perhiasan oleh kaum peribumi.

Syiling Enggang Badak - Depan

Syiling Enggang Badak - Belakang.
Kod: Null
Harga syiling Enggang Badak dari pemerhatian saya adalah yang tertinggi berbanding syiling-syiling lain dalam siri ini kerana ia menjadi buruan para pengumpul dan sukar diperolehi. Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM35 - RM70.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan