Khamis, 20 September 2012

Syiling Spesis Haiwan Terancam - Siri Kedua Burung Keluaran Pertama

BARAU-BARAU/STRAW-HEADED BULBUL



Keluarga : Pycnonotidae
Nama Biasa : Straw-headed Bulbul
Nama Melayu : Barau-barau
Nama Saintifik : Pycnonotus Zeylanicus

Barau-barau adalah spesies yang terbesar di dalam kumpulan burung Merbah yang mempunyai bunyi yang merdu. Kadang kala burung ini akan menghasilkan bunyi gogokan dengan berduet berpasangan di awal pagi. Ia boleh dikenalpasti melalui saiz dan juga warna kuning kemerahan pada bahagian atas kepala, yang kelihatan bergaris atau beralur. Ciri-ciri lain termasuklah mempunyai garis berwarna kehitaman berhampiran paruh dan melalui mata, warna yang pucat pada bahagian leher dan bahagian bawah badan, serta garis-garis halus yang malap pada bahagian dada dan belakang.


Musim pembiakan bagi spesies ini bermula dari bulan Januari sehingga September di mana burung betina akan menghasilkan dua biji telur di dalam sarang yang lebar, tidak kemas dan melengkung ke dalam yang dibina daripada rumput dan daun-daun. Sarang ini dibina di dalam semak dengan ketinggian di antara 1.5 hingga 4.6 meter dari atas tanah. Spesies ini mendiami hutan tanah pamah, hutan sekunder, semak samun, ladang dan tanah pertanian. Kadang kala ia ditemui di kawasan paya bakau serta sering ditemui di tepian sungai dan anak sungai, hingga ketinggian 245 meter dari aras laut. Lazimnya, Barau-barau yang tinggal berhampiran tepi sungai mempunyai nada dan bunyi yang merdu berbanding burung-burung lain.


Spesies ini terdapat di Kepulauan Sunda Besar, Sumatera, Jawa, Borneo dan Semenanjung Malaysia. Barau-barau disenaraikan sebagai burung yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76/1972, di seksyen 2, Jadual 4 (burung-burung liar yang dilindungi).


IUCN turut menyenaraikan spesies ini di dalam 'Red List of Threatened Species' sebagai hampir terancam. Ancaman utama kepada spesies ini adalah kehilangan atau degradasi habitat yang disebabkan oleh manusia dan juga penuaian (memburu dan mengumpul). Spesies ini terus berkurangan dari segi jumlah akibat penangkapan bagi tujuan perdagangan burung peliharaan.

Syiling Barau-barau - Depan
Syiling Barau-barau - Belakang
Kod: Null
Harga semasa (2012) untuk syiling ini dalam kondisi BU adalah diantara RM10 - RM35.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan