Selasa, 28 Januari 2014

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Penubuhan Malaysia Ke-50 (Silver Proof Coin)



Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling perak ini merupakan duit syiling perak berwarna yang pertama dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Pada bahagian hadapan duit syiling ini terdapat imej berwarna Jalur Gemilang. Duit syiling pruf yang berwarna ini diperbuat daripada logam Perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan dijual pada awalnya dengan harga RM200 sekeping. Sebanyak 10,000 keping sahaja ditempa.



Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan perak ini bersempena dengan Ulang Tahun Penubuhan Malaysia Ke-50. Hari Malaysia kini disambut pada 16 September setiap tahun sebagai memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 11 buah negeri di  Tanah Melayu dan dua buah negeri di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak. 
Malaysia ditubuhkan hasil daripada persetujuan kesemua negeri tersebut untuk menubuhkan sebuah negara yang dilihat sebagai satu kesatuan bersekutu dangan ciri-cirinya yang tersendiri.

Tarikh 16 September 1963 adalah penting kerana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama, mengisytiharkan penubuhan Malaysia di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Detik pengisytiharan ini disaksikan oleh 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari penuh bersejarah ini. Tunku Abdul Rahman bersama-sama dengan mereka yang hadir telah melaungkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.


Sejarah Malaysia yang terbentuk daripada pelbagai cabaran dan perjuangan generasi terdahulu wajar dikenang kerana ia menjadi asas pembentukan Malaysia hari ini. Melalui pemahaman tentang sejarah pembentukan Malaysia, rakyat akan dapat menghayati makna sebenar kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Hari Malaysia sesungguhnya telah mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum. Malah tarikh 16 September 2013 amat bermakna kerana ia juga menandakan Ulang Tahun Penubuhan Malaysia yang ke-50.

Syiling Perak Berwarna Pruf 50 Tahun Hari Malaysia - Depan

Syiling Perak Berwarna Pruf 50 Tahun Hari Malaysia - Belakang
Reka bentuk dibahagian hadapan duit syiling perak berwarna ini memaparkan imej Jalur Gemilang yang berwarna di bahagian tengahnya.  Perkataan “PERAYAAN HARI MALAYSIA” dan “50 Tahun” dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala perkataan “16 SEPTEMBER 1963-2013” dipaparkan di bahagian bawah duit syiling. Sementara di bahagian belakang bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej Jata Negara dan peta Malaysia. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling iaitu "10 Ringgit" tertera di bahagian bawahnya.

Spesifikasi Teknikal Syiling
Kod:00.002
Harga semasa (2014) untuk syiling ini adalah diantara RM220 - RM240 sahaja. Walaupun syiling ini ditempa menggunakan logam perak dengan ketulenan 999 namun oleh kerana kuantiti tempaannya agak banyak menyebabkan harga syiling ini agak murah berbanding syiling peringatan perak pruf seangkatan dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan