Selasa, 4 Februari 2014

Duit Syiling Peringatan Perak Peruf Sempena Ulang Tahun Muzium Negara Ke-50 (Silver Proof Coin)


Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan ulang tahun Muzium Negara Ke-50. Idea penubuhan Muzium Negara merupakan cetusan ilham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Cadangan untuk membina Muzium Negara telah diluluskan pada tahun 1958 dan kerja-kerja pembinaannya telah bermula pada tahun 1962. Muzium ini didirikan di atas bekas tapak Muzium Selangor yang musnah pada 10 Mac 1945 akibat pengeboman oleh Angkatan Tentera Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua. 

Reka bentuk Muzium Negara yang bercirikan seni bina rumah Melayu tradisional dan menyerlahkan unsur kemegahan istana diraja Melayu dihasilkan oleh arkitek kelahiran tempatan, Ho Kok Hoe. Bangunan Muzium Negara juga merupakan ikon kebudayaan Malaysia yang sangat dikagumi. Bahagian hadapannya dihiasi dengan dua mural yang sangat indah, diperbuat daripada mozek Itali yang menggambarkan sejarah, seni dan budaya negara, hasil karya Cheong Lai Tong.


Muzium Negara dibuka secara rasmi pada 31 Ogos 1963 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, bersempena dengan hari Kemerdekaan Negara. Sambutan Ulang Tahun Muzium Negara Ke-50 pada 31 Ogos 2013 merupakan detik bersejarah kerana disambut serentak dengan Ulang Tahun pembentukan Malaysia yang ke-50.


Rekabentuk hadapan syiling perak peruf ini dihiasi dengan imej bahagian hadapan Muzium Negara dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan “JUBLI EMAS MUZIUM NEGARA” dan tahun “1963 – 2013” yang menandakan ulang tahun ke-50 tertera di atas imej bahagian hadapan Muzium Negara tersebut sementara perkataan "Muzium Negara" tertera pada bahagian atas duit syiling peringatan perak peruf ini. Pada bahagian belakang, imej mural dari Muzium Negara dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka iaitu "10 ringgit" duit syiling ini tertera di bahagian bawahnya.

Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini adalah seperti berikut:

Syiling perak peruf Muzium Negara - Depan

Syiling perak peruf Muzium Negara - Belakang
Duit syiling peringatan perak pruf ini diperbuat daripada logam Perak dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan dijual pada awalnya dengan harga RM150 sekeping. Sebanyak 1,000 keping sahaja ditempa.

Butiran terperinci mengenai duit syiling ini adalah seperti berikut:

Spesifikasi Teknikal Syiling Muzium Negara

Kod:00.052
Harga semasa (2014) untuk syiling peringatan perak peruf ini adalah diantara RM260 - RM350.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan