Isnin, 27 Januari 2014

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80 (Silver Proof Coin)


Duit Syiling Peringatan Perak (Pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada logam Perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit ini ialah RM10 dan harga jualan pada awalnya ialah RM150 sekeping. Sebanyak 1,000 keping sahaja ditempa.



Duit syiling peringatan ini dikeluarkan bersempena dengan Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80. Kewujudan Angkatan Tentera Malaysia bermula dengan pembentukan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933, yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Tentera Malaysia berikutan pembantukan Malaysia pada 16 September 1963. Angkatan Tentera Malaysia telah berkembang sejak lapan dekad yang lalu daripada sebuah pasukan tentera kepada Angkatan Tentera Serba Langkap dan Canggih (Full Spectrum Force)



Duit syiling ini dilancarkan oleh Panglima Angkatan Tentera Y.Bhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Dr. Zulkifeli bin Mohd Zin pada 20 Disember 2013 bertempat di Auditorium Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur diikuti penjualan pada 23 Disember 2013. Turut hadir semasa majlis pelancaran syiling ini adalah Timbalan Gebenor Bank Negara, Dr. Sukhdave Singh, Panglima Tentera Darat, Yang Mulia Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi bin Raja Mohamed Noor, Timbalan Panglima Tentera Laut, Y.Bhg Laksemana Madya Dato' Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Baharuddin dan Ketua Staf Markas ATM, Y.Bhg Laksemana Madya Dato' Nasaruddin bin Othman.

Syiling Perak Pruf ATM - Depan

Syiling Perak Pruf ATM - Belakang
Reka bentuk hadapan duit syiling peringatan ini memaparkan ketiga-tiga bahagian Angkatan Tentera Malaysia, iaitu jet pejuang untuk mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kereta kebal untuk mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM), dan kapal selam untuk mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Perkataan “ULANG TAHUN KE-80 ANGKATAN TENTERA MALAYSIA” dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun “1933-2013” yang menunjukkan tempoh 80 tahun kewujudan Angkatan Tentera Malaysia dipaparkan pada bahagian bawah reka bentuk syiling. Sementara dibahagian belakang, bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan logo Angkatan Tentera Malaysia. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka syiling tertera pada bahagian bawah reka bentuk duit syiling tersebut.

Spesifikasi Teknikal Syiling

Kod:00.051
Harga semasa (2014) untuk syiling peringatan perak peruf ini adalah diantara RM350 - RM450.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan